Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal mencipta sejarah sempena Majlis
Konvokesyen Ke-27 apabila memulakan istiadat konvokesyen dengan pemasyhuran
Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Panglima Besar Kedah (Ahli Jemaah
Pemangku Sultan Kedah), sebagai Canselor UUM yang baharu pada 8 November ini di
Dewan Mu'adzam Shah, UUM.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata,
pelantikan Yang Teramat Mulia Tunku Puteri telah mendapat perkenan Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum
Sultan Badlishah yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.
Sehubungan itu, satu majlis Bankuet Pra Konvokesyen Ke-27 UUM akan
diadakan pada 7 November ini bagi meraikan pemasyhuran Yang Teramat Mulia Tunku
Puteri yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebagai Canselor UUM
bertempat di EDC-UUM.
Menurut Naib Canselor lagi, majlis konvokesyen UUM kali ini akan
berlangsung selama lima hari berturut-turut mulai 8 November yang mana turut
menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada dua tokoh negara iaitu
Dato’ Seri S Samy Vellu dan Dato’ M Nasir pada sidang pertama konvokesyen.
“Kedua-dua tokoh ini masing-masing akan menerima Ijazah Kehormat Doktor
Falsafah (Pengurusan Pembangunan) dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah
(Pengurusan Industri Kreatif) yang akan disampaikan Canselor UUM baharu.
“Selain itu, enam ahli politik negara turut menerima Ijazah Sarjana,
antaranya Timbalan Menteri Pendidikan II, Yang Berhormat P Kamalananthan dan
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Selain itu, dua tokoh dari Indonesia juga akan menerima Ijazah Doktor Falsafah
masing-masing iaitu Rita Widyasari, Bupati Kutai Kartanegara dan Wahidin yang
merupakan Hakim Pengadilan Tinggi, Maluku Utara.
“Pada majlis ini juga, dijangka seramai 6,608 graduan akan menerima
ijazah masing-masing yang mana 482 daripadanya adalah graduan antarabangsa dari
26 buah negara. Semua penerima ijazah terbabit terdiri daripada 139 graduan
Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah
Pengurusan; 1,090 graduan Ijazah Sarjana; 5,378 graduan Ijazah Sarjana Muda dan
seorang graduan Diploma Lepasan Ijazah (Diploma Pendidikan),” katanya pada
sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini, semalam.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan graduan itu, seramai 452
graduan Sarjana Muda menerima Ijazah Kelas Pertama dan 516 graduan dipilih
menerima anugerah-anugerah utama universiti. Dalam konvokesyen ini juga seramai
21 graduan sulung dilahirkan menerusi empat program UUM iaitu Doktor
Pengurusan, Ijazah Sarjana Undang-undang (Penyelidikan), Ijazah Sarjana
Kewangan dan Perbankan Islam dan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Media)
(Penyelidikan).
Katanya lagi, sempena majlis konvokesyen kali ini, Pesta Konvokesyen UUM
Ke-27 akan diadakan mulai 5 hingga 12 November dengan tema ‘Mahasiswa
Berintegriti Teras Kecemerlangan Negara’ di Tapak Ekspo, padang kawad PALAPES
dan sekitar UUM.
Ujarnya, tema itu dipilih berikutan isu integriti kini dilihat sangat
penting dengan situasi negara sekarang, justeru UUM ingin semarakkan integriti
di kalangan pelajar supaya mereka dapat menghayati nilai dan maksud tersebut.
“Pengisian Pesta Konvo akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berbentuk
akademik, keusahawanan, kebudayaan dan kesenian, sukan dan rekreasi, kerohanian
serta pameran. Antaranya ialah UUM’s Youth Forum, Selfie is MAKNA, Global
Cultural Night dan Malam Bintang Konvo.
“Selain itu, lebih 180 gerai jualan turut mengambil bahagian dalam Pesta
Konvo ini termasuk pameran automobil dan juga penyertaan Jabatan Pengangkutan
Jalan menerusi Hari Bersama Pelanggan,” katanya.
Majlis perasmian Pesta Konvokesyen itu akan disempurnakan oleh Menteri
Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir di Stadium UUM pada 5 November
ini.
0 princess comments:
Post a Comment